Struggle Itu Nyata, Manis Itu Hadiah
Rentetan daripada status Mama tentang sedikit pencapaian Afiq Danial baru-baru ini, beberapa orang telah mesej dan WhatsApp Mama bertanya tentang Afiq sebelum pandai bertutur, aktiviti yang Mama lakukan dan banyak lagi.
Mama bukan siapa-siapa, terasa tidak layak sebenarnya untuk bercerita sangat. Pencapaian ini biasa-biasa sahaja sebenarnya. Bukan cemerlang akademik, tetapi pencapaian sikap dan attitude dalam diri Afiq. Disebabkan soalan yang sama datang daripada beberapa orang, Mama tulis di sini ya 😊
Afiq Danial ialah anak kedua kami. Lahir pada 3/11/2006 (Jumaat). Awalnya kami tidak tahu pun Allah SWT kurniakan kami anak OKU kerana fizikalnya sangat sempurna. Hari pertama lahir, dia tidak menangis langsung. Ditepuk-tepuk manja di tapak kaki dan punggungnya pun masih tidak kedengaran tangisannya.
Sejak kelahirannya, dia sangat baik dan tidak banyak menangis. Lapar ke, lampin penuh ke, berak ke, semuanya tidak menangis. Tidur sahaja sepanjang masa. Sepanjang tempoh berpantang pun langsung tidak kedengaran tangisannya. Sangat mudah dijaga.
Selepas habis pantang, ketika Afiq Danial berumur lebih kurang 3 bulan, kami pulang ke kampung Tok Wan untuk membawa cucu baru berjumpa Tok Wan. Dalam perjalanan balik ke Kelantan, ketika tiba di kawasan Merapoh — waktu itu jalan lama, belum ada lebuh raya lagi — kami sampai di situ waktu Maghrib. Masa itu kali pertama Afiq Danial menangis dan tangisannya non-stop. Mama memang gelabah dan panik sangat. Mama baca surah kuat-kuat mengatasi bunyi tangisannya, tetapi entah apa-apa Mama baca dalam keadaan panik itu 😌 Doa makan, doa tidur pun Mama baca sekali. Mujur bukan Mama yang memandu dan mujur juga Abah tidak panik. Abah pun bacakan ayat-ayat al-Quran sambil memandu. Alhamdulillah, Along yang masa itu hampir 2 tahun sangat behave duduk di depan dan tidak meragam walaupun adiknya sedang menangis.
Apabila umur Afiq Danial 8 bulan, Mama mula rasa ada sesuatu yang tidak kena. Yalah, 24 jam Mama dengan dia depan mata. Jadi Mama dapat rasa ada sesuatu yang tidak kena dengan perkembangan dia sebagai bayi. Tiada bubbling, tiada respon pada bunyi, tidak kenal nama apabila dipanggil, mudah mengamuk dan susah dipujuk serta suka bermain sendirian.
Semasa umur setahun lebih, Afiq Danial didiagnosis mempunyai masalah pendengaran kedua-dua belah telinga pada tahap profound atau sangat teruk (120db).
Bermulalah episod baru buat Afiq Danial dan kami sekeluarga. Afiq Danial mula memakai alat bantu pendengaran, hearing aid, dan didaftarkan sebagai pemegang kad OKU Pendengaran. Hampir 2 tahun memakai hearing aid tetapi tiada progress. Satu perkataan pun tiada, bubbling pun tiada. Yang ada cuma bunyi “aaa aaa aaa” sahaja. Dia juga sangat kuat menjerit dan tantrum semakin hebat.
Dipendekkan cerita, selepas membuat CT scan dan MRI, doktor mencadangkan Afiq sesuai untuk menjalani implant.
Semua ini perkara baru bagi kami ketika itu. Tiada langsung info tentang implan. Tiada ilmu, tiada kawan senasib, tiada kumpulan sokongan dan belum ada persatuan seperti sekarang. Yang ada ketika itu hanyalah persatuan orang pekak. Google sahajalah menjadi rujukan kami waktu itu. Pada awalnya kami banyak menyendiri kerana belum bersedia. Diri sendiri pun belum ready, inikan pula mahu berdepan dengan pelbagai pertanyaan dan persoalan. Eh, tanya dengan soal itu tak sama tau 🤣🤣
Sepanjang rawatan rehabilitasi, ada pasang surutnya episod ini. Ada ketika pergi terapi terasa sia-sia kerana Afiq Danial tidak memberi kerjasama. Sejam atau sejam setengah berlalu hanya dengan amukan dan tantrumnya. Tetapi Afiq Danial ini, sejak kecil walaupun dalam fasa tidak mendengar, dia tidak pernah menyakiti Mama secara fizikal. Dia tantrum dan mengamuk, tetapi tidak pernah pukul Mama, tendang Mama atau ludah Mama. Tidak pernah sekali pun. Tetapi orang lain memang pernah merasa, terutama Abah dan speech therapist dia
Huhuhu… maafkan kami, Cikgu Muni, dan terima kasih kerana bertahan dengan Afiq Danial ketika dia kecil dahulu.
Alhamdulillah, ketika umur 3 tahun setengah, dia menjalani pembedahan implan di telinga kanan. Selepas 2 minggu pembedahan, dia mula switch on alat implan kanan.
Memang struggle sangat sebab walaupun sudah mendapat implan dan bunyi sudah masuk, itu tidak bermaksud anak terus boleh mendengar dengan baik dan terus boleh bercakap walaupun umur hampir 4 tahun. Bukan begitu ya. Tidak ada magic.
Tahun pertama selepas implant, progress pertuturan Afiq agak perlahan. Perlahan sangat walaupun Mama rasa macam sudah bagus hahaha. Selepas setahun pertama implant, kira-kira umur fizikal Afiq lebih 4 tahun, barulah nampak banyak peningkatan. Attend terapi sangat perlu kerana sesi itu sebenarnya untuk ibu ayah belajar dan menetapkan target serta goal anak. Kemudian, dengan pembelajaran di kelas terapi tadi, ibu ayah perlu lakukan latihan di rumah. Homework speech memang sangat perlu dibuat. Kalau tidak mampu buat lama, tetap wajib curi masa setiap hari daripada langsung tiada. Biasanya Mama suka buat dalam rutin harian. Ada masa memang Afiq langsung tidak memberi kerjasama 😥
Progress yang dilihat hari ini bukan magic, bukan mudah, bukan sebab Afiq terlalu baik dan bukan sebab dia lain daripada orang lain. Fitrah kanak-kanak tetap sama. Struggle itu memang struggle sangat.
Macam anak-anak lain juga, Afiq dulu ada tantrum, pernah buat perangai tidak mahu belajar, pernah berenang di lantai mall yang kering kontang itu, siap buat kuak lentang depan orang sebab Mama tidak memenuhi permintaannya 🤣. Afiq juga pernah buat Mama menangis sebab terlalu penat dan fed up. Pernah buat Mama rasa putus asa. Pernah juga Mama campak barang-barang latihan ke luar rumah sebab dia tidak mahu buat latihan. Pernah juga Mama hilang arah sampai Mama pernah tolak dia keluar duduk di luar rumah dan tutup pintu ðŸ˜
Semua ini Mama buat masa Abah Afiq tiada di rumah sebab Mama takut Abah marah Mama pula nanti 😂. Sungguh, dulu Mama rasa seperti berjuang seorang diri. Perit, pahit, sakit dan kecewa itu orang tidak nampak pada awalnya. Tetapi sebenarnya kami juga tidak terlepas daripada fasa struggle ini.
Sebab itu apabila Allah bagi sedikit kemanisan, walaupun kecil, terasa sangat besar dan sangat disyukuri kerana di sebalik kemanisan itu, kami telah melalui pahit dan perit terlebih dahulu.
Saya percaya setiap orang diuji dengan ujian yang berbeza. Mungkin ada yang sama, tetapi jalan dan caranya berbeza. Macam kita ambil exam, soalan sama tetapi jawapan dan markah kita tetap berbeza.
Rasanya cukup sampai di sini dahulu 😊 Nanti berat pula punggung Mama hendak bangun urus rumah dan anak-anak hari ini 🤣🤣
Ini cerita kami.
No comments:
Post a Comment