Bila SuperHEARo Camp Mengingatkan Mama Tentang Tanggungjawab Yang Belum Selesai
Lama rasanya tak menulis tentang dunia pekak.
Hari ini baru berkesempatan mencoret sedikit nota untuk perkongsian, dan juga sebagai rujukan untuk diri sendiri.
Kadang-kadang saya fikir, bila Danial dah besar, bolehlah mama tarik nafas lega. Dia dah tahu urus hidup sendiri. Dah makin berdikari. Dah pandai buat keputusan. Tapi rupanya… tidak semudah itu.
Bila mama diberi peluang menyertai SuperHEARo Camp25 baru-baru ini, anjuran Hear Me Malaysia, rasa macam ada sesuatu yang “mengetuk” kepala saya. Terus rasa emo. Terus rasa bersalah pada anak sendiri. Baru saya sedar… Bila anak makin besar, cara kita mendidik juga perlu ikut berubah.
Waktu mereka kecil, kita fokus ajar mereka untuk mendengar, bercakap, mengenal bunyi dan memahami bahasa. Tetapi bila mereka masuk alam remaja dan dewasa, mereka perlukan sesuatu yang lain pula strategi komunikasi dan bimbingan emosi. Dan ya, kita masih perlu terus ajar dan latih, walaupun mereka nampak seperti “dah boleh urus diri sendiri”.
Antara perkongsian daripada Dr. Basha yang sempat saya take note semasa slot AVTW5, benar-benar membuka mata saya tentang banyak perkara yang masih perlu saya perbaiki dalam berkomunikasi dengan Danial.
Antaranya:
1️⃣ Mereka juga belajar mendengar melalui mata, bukan hanya telinga.
Bila kita bercakap, mereka bukan sekadar “mendengar”. Mereka akan melihat wajah kita. Mereka membaca gerakan bibir, mimik muka dan ekspresi wajah. Jadi jangan cepat salah faham bila mereka merenung wajah kita lama-lama. Mereka bukan kurang sopan. Mereka sedang “mendengar” melalui mata.
2️⃣ Kalau nak berbual, pandang muka. Eye contact sangat penting.
Jangan bercakap sambil buat kerja lain, berjalan, bergerak ke sana sini atau bercakap dari belakang dan tepi. Tanpa eye contact, mereka boleh hilang keseluruhan makna perbualan. Bila mereka tak respon… bukan sebab mereka tak peduli. Tetapi sebab mereka benar-benar tak dapat fokus untuk mendengar dengan baik. Sebenarnya… Kita pun sama kan? Bayangkan kita tengah bercakap dengan suami atau anak-anak… Tapi dalam masa yang sama mereka sibuk buat benda lain, berjalan-jalan, tak pandang kita. Apa kita rasa? Rasa macam nak tarik telinga orang tu sambil cakap:
“Tengok saya. Saya tengah bercakap dengan awak ni. Dengar tak?”
Begitulah perasaan mereka juga.
3️⃣ Gunakan mimik muka, kelajuan pertuturan yang perlahan, dan suara yang tenang.
Bercakaplah dengan ekspresi, perlahan-lahan dan jelas. Bila kita bercakap laju macam peluru mencari sasaran… Mereka tak sempat nak “tangkap”. Kadang-kadang mereka diam… Bukan sebab tak berminat. Tetapi kerana otak mereka sedang bekerja keras memproses butiran bunyi yang sempat ditangkap oleh alat dan menghantarnya ke otak untuk ditafsir. Berilah mereka masa untuk respon.
4️⃣ Tak perlu menjerit bila bercakap.
Bayangkan kita letak speaker yang sangat kuat betul-betul di sebelah telinga kita. Sakit, kan?Stress, kan? Bingit, kan? Tak dapat tangkap pun butiran percakapan. Begitulah juga mereka. Cukuplah bercakap dengan nada biasa… tetapi jelas. Biar alat pendengaran mereka sempat menangkap dan mentafsir bunyi dengan baik. Sebenarnya, ramai individu pekak merasa tersisih bila berada dalam kelompok kawan-kawan tipikal yang bercakap terlalu laju, terlalu ramai, atau serentak. Mereka tak faham topik perbualan. Akhirnya… mereka memilih untuk diam. Menyendiri atau buat hal sendiri. Kadang-kadang…kesunyian mereka bukan sebab tak ada orang di sekeliling. Tetapi kerana tiada ruang untuk mereka difahami.
Masih ada lagi point yang saya belajar. Ini baru 4 point yang saya sempat kongsi. Ada lagi 6–7 point yang sangat menarik.
Kita sambung next post ya
Tentang video di bawah pula… Kalau korang perasan, pada awal video tu akan kedengaran banyak bunyi sekeliling bersama bunyi pertuturan. Semua bercampur. Tapi beberapa saat kemudian… bunyi sekeliling itu “di-mute-kan”. Dan tiba-tiba… bunyi pertuturan jadi lebih jelas. Begitulah antara gambaran bagaimana teknologi Cochlear Implant (CI) sekarang semakin canggih. Alhamdulillah. Teknologi membantu. Tetapi cara kita berkomunikasi tetap memainkan peranan yang sangat besar. Kadang-kadang, anak hearing deaf tidak perlukan kita bercakap lebih kuat. Mereka cuma perlukan kita bercakap dengan lebih memahami.
No comments:
Post a Comment