19 May 2026

cerita di tulis pada tahun 2021

Dua Tahun Bersama KANSO: Terima Kasih Untuk Peluang Ini

Setelah lebih 2 tahun kami diberi peluang meminjam loan alat CI untuk WM Afiq Danial Wan Faresh, hari ini akhirnya sampai masanya untuk kami memulangkan semula apa yang kami pinjam. Terharu. Pejam celik, pejam celik… sudah 2 tahun rupanya. Satu tempoh yang sangat lama. Dari bulan Mac, waktu Danial masih Tingkatan 1

Hari ini, Danial sudah Tingkatan 3Masya-Allah. Syukur sangat.

Sepanjang tempoh 2 tahun ini, alhamdulillah langsung tiada masalah berlaku pada alat pinjaman tersebut. Tak pernah sekali pun Danial terputus daripada mendengar. Dua tahun yang sangat bermakna. Bukan mudah nak dapat peluang pinjaman selama ini. Tambahan pula, alat pendengaran ini memang satu keperluan penting untuk Danial. Jadi hari ini, abah pergi memulangkan semula alat KANSO kepada pihak company. Dalam masa yang sama, bawa juga alat CI lama Danial untuk diservis sekali processor Nucleus 5 (N5), cable, coil dan bateri.

Model N5 ini Danial pakai sejak Mac 2010, di telinga kanan. Maknanya… sudah 11 tahun. Rasanya model ini pun dah hampir dihentikan pengeluarannya. Maaf kalau saya silap. Tapi biasalah… bila sampai masa, suka atau tidak, memang kena upgrade juga. Alat elektronik… semua bergerak seiring dengan perkembangan teknologi. Terima kasih yang tidak terhingga kepada pihak Cochlear, khususnya Mr. Alan, yang banyak membantu sepanjang 11 tahun ini. Dan semestinya, servis yang diberikan juga sangat baik.

Bila Guru Bertanya, “Afiq OK ke Dengar Sebelah Telinga?”… Hati Mama Tersentuh

Hari ini… Danial pergi ke sekolah dengan satu telinga sahaja yang “ON”. Iaitu telinga kiri yang baru 2 tahun 4 bulan mendengar. Alhamdulillah, itulah rezeki Danial dapat 2nd Cochlear Implant pada tahun 2018 sebagai backup kepada telinga kanan. Walaupun hanya mendengar sebelah telinga, sekurang-kurangnya dia masih boleh meneruskan rutin harian di sekolah. Berbeza dengan dulu… Sebelum ada telinga kedua. Waktu itu, bila alat telinga bermasalah, memang sangat mengganggu rutin harian dan sesi persekolahannya. Tambahan pula Danial belajar di sekolah aliran perdana. Bila sudah biasa mendengar dengan dua belah telinga, walaupun dengan bantuan alat elektronik… Tiba-tiba perlu menghadapi suasana sekolah yang bising dengan hanya sebelah telinga

Memang menggagau juga. Struggle. Tapi itulah kehidupan yang perlu dia lalui.  Pukul 1 petang, Danial sampai rumah. Dia terus cakap pada mama:

“Hari ini saya rasa tak ok…Saya susah nak dengar apa cikgu ajar. Bila cikgu suruh berbincang dengan kawan-kawan pun, saya susah nak dengar apa mereka cakap. Saya rasa tak best sekolah hari ini.”

Hati mama terus rasa…Ya Allah. Sabar ya, nak. Itulah kehidupan. Ada pelbagai warna. Ada hari yang mudah. Ada hari yang sedikit berat. Sementara itu, bateri untuk alat N5 Danial pula rosak. Jadi mama belilah yang baru. Untuk bateri sekecil itu… Harganya RM800, selepas diskaun ahli Hear Me. Alhamdulillah. Antara manfaat jadi ahli .

Mama pun sempat bergurau dengan Danial “Bateri dah beli, jadi tak payah bagi duit raya tahun ini lah ya?" Kebetulan bateri untuk KANSO (telinga kiri) yang abah beli pun sampai hari ini juga. Memang “sakan” raya Danial tahun ini. 

Danial juga cerita sesuatu yang buat hati mama tersentuh.

Waktu subjek Matematik tadi, Cikgu Zila (Sek Men Keb Taman Desaminium) bertanya:

 “Afiq pakai satu alat telinga je hari ini?” 

Ya lah… Boy kan. Memang jelas nampak alat telinga kiri kanan. Siap berlampu lagi. Mestilah orang perasan kehadiran jejaka tampan mama ni 😍

Danial jawab:

“Ya cikgu. Satu lagi dah dipulangkan sebab itu alat pinjam.”

Cikgu tanya lagi:

“Afiq ok ke dengar sebelah telinga?”

Danial jawab:

“Tak ok… tapi kadang-kadang ok sikitlah. Tapi saya susah nak dengar kalau bising.”

Lalu cikgu berkata:

“Tak apa. Nanti cikgu bantu ajar Afiq.”

Ya Allah… Bila keprihatinan seorang guru dirasai… Memang besar maknanya. Sedikit kata-kata itu mungkin nampak kecil. Tapi bagi anak yang sedang bergelut dengan emosinya… Ia sangat membantu. Ia menenangkan jiwa. Ia memberi rasa… “Aku masih boleh teruskan.”

Dan bagi seorang ibu… Itulah yang buat hati berbunga. Alhamdulillah.

Kehadirannya diterima.
Kelibatnya disedari.
Kelainannya dihormati.
Kesukarannya diselami.
Kebaikannya dirai.

Terima kasih, Cikgu Zila



No comments:

Post a Comment