16 May 2026

6 Ogos 2021 - Hadir temujanji Klinik Audiologi dan Sains Pertuturan UKM, Jalan Temerloh KL. Follow up speech dan mapping alat.

Mula-mula appoiment speech therapy.. Tak sempat nak buat lama.. Nanti cikgu speech diskus semula melalui online.. Then terus sambung buat Mapping buat both dengan cikgu Izzati (Audiologist).. Danial dah besar ni, dah pandai dah... Tak macam dulu susahnye la nak buat mapping.. Dulu susahnye la nak bagi dia fokus.. Dulu dia paling tak suka pergi appoiment mapping.. Bila dah besar ni, banyak lega la.. Dia pun dah matang..

Telinga kanan banyak beza map. Lancar sangat.. mama duduk perati dia sepanjang buat map tadi.. Ya Allah dah besar dah anak mama ni.. Mula la terrrr terobek time dia kecil-kecil dulu..


Lepas siap map kanan (N5), tiba Danial tak respond cikgu tanya. Rupanya dia tak tau cikgu bercakap dengan dia sebab dia cakap dia dengar tak jelas map baru tu.. Bila cikgu audio ckp dia tak faham.. Dia tak faham perkataan apa yang cikgu cakap.. So kami pilih untuk stay dengan mapping lama sebab bila cikgu setting map lama dia cakap dengar jelas tapi dia minta naikkan bunyi kuat lagi dari yang lama seperti mana yang Danial minta.. Sebab kalau stay dengan map baru yang dia tak faham orang cakap apa, susah juga untuk dia nak hadap nantikan.. Lama tak map telinga kanan ni.. ada la juga 4 tahun kot tak buat mapping.. Last mapping kat Sunway Medical Hospital 2016 ke 2017 gitu dengan Pn.Ellin Fariza (Audiologist Danial masa kat Sunway).

Then buat map kiri pula.. Pun ada perubahan.. Dan danial selesa.. Cuma may be tak balance lagi kanan dengan kiri kot.. Entah sebab Danial yang dengar dan menurut dia cakap tak sama bunyi tapi dia selesa dengan setting baru kedua-dua telinga.. Dan sebab telinga kanan tu dah dominan.. Dia still nak yang kanan lagi kuat dari kiri.. So far happy sebab semuanya berjalan dengan lancar.. No rejection bunyi.. No sakit kepala...

But, ada isu sikit pasal alat Cochlear Kanso Danial.. Mama tak tau nak jelaskan macam mana.. Tapi mama diminta untuk contact company untuk deal selanjutnya.. sebab audiologist Danial dengan audiologist company dah diskus tadi.. Sebelum warranty Cochlear Kanso habis 3 tahun iaitu bulan 11, 2021 ni 😅..

Thank you Cikgu Izzati untuk hari ini 🌹..


Sekian nota perjalanan "Nikmat pendengaran Afiq Danial from Zero to Hearo"... Telinga kanan dah mendengar selama 11 tahun. Telinga kiri dah mendengar selama 2 tahun 8 bulan.. moga ada rezeki upgrade alat telinga kanan nanti.

Saya ingin menceritakan kisah anugerah yang tidak ternilai ini kepada dunia.
Tentang ibubapa dan seluruh keluarga merupakan kekuatan yang luar biasa dalam membantu perjalanan seorang anak OKU. Saya percaya bahawa cerita saya akan membantu meningkatkan kesedaran kepada dunia tentang orang pekak yang memakai alat pendengaran dan boleh bercakap.

HARGA SEBUAH PENDENGARAN.


03 November 2006 - Lahirlah anak ke 2 mama yang bernama Wan Muhammad Afiq Danial awal dari tarikh jangkaan manusia. Kamu keluar melihat dunia pertama kalinya secara normal dengan berat 3.58 kg pada hari Jumaat sayang. Pada hari yang mulia Allah hadiahkan kamu pada mama dan abah. Tapi lahirmu tanpa tangisan pertama kamu ..tanpa jeritan kamu seperti anak2 yang lain. 1st terlintas di fikiran mama.. Baiknya kamu sayang. Cerdiknya kamu. Kamu tidak terkejut dengan perubahan "tempat" kamu. Mesti kamu excited nak tengok duniakan. Nak jumpa along kamu yang selama 9 bulan kamu tendang2, cuit2 dari dalam perut mama.


Kamu membesar dengan baik. Membesarkan kamu sangat mudah. Kamu tak banyak cipta ragam. Kamu tidak pernah menangis. Kamu start menangis ketika umur kamu 3 bulan lebih. Itulah pertama kali mama dengar kamu menangis. Pertama kali mama dengar suara kamu dalam tangisan kamu yang sangat kuat dalam kereta ketika dalam perjalanan menuju ke kelantan ( balik kampung abah kamu) .. Hadirnya kamu disambut oleh semua family mama dan family abah terutama along. Walaupun beza usia kamu dengan along hanya 1 tahun, along bersedia berkongsi kasih dengan kamu. Terima kasih along Danish buah hati pertama mama.

Bila umur kamu meningkat ke 7 bulan , mama terasa sesuatu. Beza, ya berbeza. Kamu dengan along sangat berbeza. Ye melihat fizikal kamu memang cukup sempurna. Sukar untuk mama cari di mana rahsia Allah dalam diri kamu ketika itu.. Itu yang buatkan mama berfikir, ada satu rahsia dalam diri kamu yang mama tidak tahukah? Mama bawa kamu cek masa tarikh imunisasi kamu di Klinik Desa Sg.Sekamat, Kajang. Kata mereka terlalu awal untuk mama harapkan kamu mengeluarkan apa2 bubbling. Mereka cakap ada segelintir anak umur 2 tahun baru pandai mengeluarkan bunyi. Ok mama terima kata2 mereka. Mungkin betul juga kan. Setiap anak itu kan berbeza progressnya ..Tapi, mama ingat mama boleh anggap semuanya ok. Namun 24 jam sehari waktu mama bersama kamu dan along kamu , membuatkan perasaan "sesuatu" itu kembali menyinggah di benak fikiran mama. Iya mama merasakan ada " rahsia Allah" pada diri kamu yang belum tersingkap..

Akhirnya pada tahun 2008 , terjawab sudah "rahsia" dalam diri kamu. Kamu telah di diagnosed oleh audiologist Wan Fazlina yang kamu mengalami masalah pendengaran sejak lahir lagi. Kamu telah kehilangan pendengaran kekal pada kedua2 belah telingan. Punca sebenar kamu pekak tidak pernah mama tahu. Sebagai orang islam, mama percaya semua ini takdir yang telah Allah tentukan buat kita. Bahasa dulu2 membawa maksud kamu pekak. Pekak dari lahir pada kedua2 belah telinga pada tahap yang sangat teruk iaitu di level PROFOUND "120db ". Kemudian atas nasihat mereka mengesyorkan mama membawa kamu ke Klinik Audiologis dan Sains Pertuturan UKM di Jalan Temerloh memandangkan pada ketika itu Hospital Serdang masih baru dan tidak cukup kemahiran dan alatan yang diperlukan. Mama hanya menurut kerana pada waktu itu mama buntu dan tidak boleh berfikir langkah seterusnya yang perlu mama ambil kerana waktu itu mama dalam situasi yang masih menafikan diagnosis kamu.


Dipendekkan cerita, Pada mulanya mama disyorkan untuk memakaikan kamu alat bantu pendengaran biasa (hearing aid) tetapi malangnya, ianya tidak memberikan keputusan yang baik. “Tetapi mungkin ada harapan dengan implan koklea, dia mungkin boleh mendengar”, bisik hati kecil mama ketika itu. Dia baru berusia 3 tahun tetapi masa depannya akan bergantung pada alat tersebut. Namun, keputusan untuk mama dan abah ambil tidaklah mudah. Banyak yang perlu kami fikirkan sebelum membuat sebarang keputusan. Perasaan kami berbelah bagi. Emosi mama turun naik. Airmata mama bagaikan tidak kenal erti berhenti. Berbeza dengan abah yang kelihatan agak tenang berbanding mama yang sangat beremosi. Mama balik ke rumah dan mencari info tentang implan koklea. Namun menyedihkan apabila semua info berkaitan hanya boleh didapati dari pengalaman orang luar negara.

Situasi sedemikian menambahkan lagi rasa yang bercampur-campur. Memikirkan harapan dan kejayaan implan koklea itu juga sangat menyesakkan dada. Bukan mama tidak meletakkan pengharapan pada Sang Pencipta, namun keadaan ketika itu seperti hilang arah. Tiada info yang dikongsi dari orang Malaysia membuatkan mama terumbang ambing dalam membuat keputusan untuk anak mama. Memikirkan kos untuk membiayai implan koklea itu juga sangat menyesakkan dada. Bukan itu saja, memikirkan anak kecil mama perlu dibedah di kepala juga sangat menggilakan. Apakah tepat keputusan kami? Bagaimana jika itu, jika ini terjadi ketika dan selepas pembedahan anak kecil kami? Berdosakah kami kerana mengambil tindakan besar ini untuk anak kecil kami? Ya Tuhan, berat sungguh ujian yang Kau beri pada kami. Kenapa anak kecil kami ini yang perlu melalui ujian ini? Kau mudahkan lah jalan takdirnya. Kau izinkan lah yang terbaik di sebalik keputusan kami ini.

Pada bulan 11, 2009 Doktor Mazita Ami ( ENT) kamu di HUKM ketika itu, telah mengeluarkan surat pengesahan kamu layak implant dan kosnya adalah sebanyak RM77 000. Masa itu doktor juga sudah letak target 25hb feb,2010 seingat mama untuk pembedahan implan belah kanan telinga kamu. Tapi kami terima call mengatakan tarikh ditunda atas sebab2 tertentu ke tarikh 2 Mac 2010 ( umur kamu 3 tahun 4bulan).

Alhamdulillah, pembedahan implan koklea pertama kamu berjalan lancar dengan izin Allah. Selepas 3 minggu kamu berpantang menjaga luka, kamu start switch on alat CI brand Cochlear model Nuclues 5 (N5) pada 24 Mac 2010. Reaksi pertama kamu masa itu, kamu terkejut mendengar bunyi dan terus memeluk abah kamu (ketika itu mama dalam pantang adik kamu Darwish). Mama terlepas memori ini kerana mama sedang pantang bersalin dan abah kamu tidak reti mencipta memori penting pada waktu itu huhuhu. Pada saat ini, bermulalah perjalanan mendengar Danial. Mama membantu kamu membuat latihan mendengar dan pertuturan di rumah mengikut “guide line” dari cikgu terapi pertuturan kamu iaitu Pn.Munira Haris. Abah juga turut memain peranan berkorban masa menghantar dan menjemput kita berulang alik ke pusat terapi, sokongan along Danish dalam melakukan terapi dan banyak lagi. Sekitar umur kamu 4 tahun, mama mula melihat hasil yang hebat. Bayangkan pada ketika itu, mama sangat kurang berjumpa dengan ibubapa yang membawa anak seperti Danial di khalayak umum mahupun di hospital. Sudah pasti mama tiada contoh dan panduan untuk melihat kejayaan anak implan koklea ketika itu. Sedikit demi sedikit pencapaian kamu membuatkan mama bertambah teruja untuk pelbagaikan bentuk latihan di rumah dan menyenaraikan target mingguan.




Alhamdulillah kamu menerima alat pendengaran baru kamu dengan baik. syukur Ya Allah . Kami berusaha hadir ke setiap appoiment terapi Danial. Ada masa appoiment terapi dia berturut-turut dalam seminggu. Pagi ke petang. Heret lah kesemua anak-anak yang ada.


Sepanjang proses melatih dan terapi kamu , pelbagai suka duka dan pelbagai perasaan dan emosi turun naik setia menemani perjalanan kehidupan dunia baru kamu sehigga kini. Belum masuk cerita tentang behaviour kamu yang pasang surut. Limpahan air hujan mama serta ribut taufan tanpa beri isyarat untuk mama bersedia. Namun mama bangga dengan kamu Afiq Danial.



Namun begitu mama tetap melalui pelbagai cabaran dari orang sekeliling dan masyarakat luar yang sangat kurang pendedahan tentang anak pekak seperti kamu. Bagi menempatkan kamu dalam masyarakat dan dalam persekitaran yang positif sangatlah sukar. Perjalanan persekolahan kamu juga sangat mencabar. Namun untuk memberikan hak seorang anak itu, mama perjuangkan juga. Pendidikan kamu bukanlah bermula dengan indah. Banyak asam garam dan ragam kehidupan perlu kamu lalui bila mana kamu membawa status sebagai OKU dan masuk ke sekolah biasa.


,


Pada tahun 2012, permohonan untuk masukkan kamu ke Pra sekolah di sini ditolak dan rayuan dibuat tapi masih bukan rezeki untuk kamu di situ. Namun ada "luka terhiris" disebalik penolakkan itu kerana itu mama patah hati dan nekad cabar diri mama mengajar dan melatih kamu di rumah (homeschooling). Alhamdulillah Allah mudahkan. Kamu pandai bertutur, membaca, menulis, menggunting, mengeja, mengenal nombor dan memahami arahan mudah. Syukur, mama kagum dengan kamu Afiq Danial.




Pada 2013, tibalah saat kamu perlu belajar berdikari tanpa mama di sisi setiap masa. Kamu menginjak ke umur 7 tahun. Kali ni mendaftarkan kamu sekolah kebangsaan aliran perdana tiada masalah kerana kami belajar dari " luka" yang lalu. Kita selalu mengajar anak2 kita untuk bersikap jujur. Namun bila berdepan dengan birokrasi atau jabatan atasan, kekadang bersikap jujur itu membuatkan kita ditindas dan orang melihat kita lemah. Itu yang mama belajar dari perjalanan anak OKU mama. Oleh kerana itu, kali ini kami mengambil langkah untuk tidak terlalu berterus-terang bila mana ianya melibatkan hak anak OKU mama. Kamu berjaya kami daftarkan masuk ke sekolah aliran perdana. Namun, ku sangka panas hingga ke petang, rupanya hujan di tengahari. Pada awal perjalanan lagi, kamu telah mendapat pernolakkan walau nama kamu sudah berada dalam senarai nama murid sekolah itu. Namun kehadiran kamu tidak disenangi. Anak kecil mama berumur 7 tahun ketika itu. Buli! Sudah pasti pernah. Bukan sahaja dibuli oleh “kawan” seperjuangan malah dibuli dan dipalau oleh insan yang bergelar pendidik anak bangsa. Namun, mama tetap pujuk kamu untuk terus kuat. Kadang-kadang mama merasa tindak tanduk mama agak “kejam” namun memikirkan masa depan kamu, mama perlu lakukan.


1st time masuk sekolah darjah 1 dulu, terkontang kanting kamu sorang-sorang duduk dalam kelas. Kamu sorang-sorang rehat di kantin, kamu sorang-sorang menuju ke tapak perhimpunan, kamu sorang-sorang ke toilet. Mujurlah masa tu masih minggu orentasi sekolah lagi. Ibubapa dibenarkan tunggu anak di kantin. Seperti ibubapa yang lain, mama juga mengambil peluang itu untuk melihat dan memantau kamu di awal persekolahan. Mama menyorok dibalik tiang di kantin tanpa kamu sedari untuk melihat kamu. Kamu sorang-sorang duduk melihat kawan-kawan lain bermain sementara waktu rehat tamat. Kamu sorang-sorang keluar dari bilik muzik sebab tak ada kawan menunggu sama-sama , kamu sorang-sorang ketika balik menuju ke van sekolah. Tapi mama husnuzon kan diri mama. Mama pujuk hati berkata ini adalah proses kamu belajar berdikari. Semua orang begitu. Perlukan masa untuk sesuaikan diri dengan keadaan.

Kamu juga pernah dibuli di dalam van semasa ketiadaan along. Begitulah realitinya perjalanan anak OKU pertama kalinya memasuki kelompok dunia tipikal. Pertama kali keluar dari "jagaan keluarga" untuk belajar berdikari dalam meneruskan explorasi dunia luar demi meneruskan perjalanan yang dinamakan "kehidupan". Mendung tidak bererti hujan. Walau banyak cabaran yang dihadapi, ada sinar mentari disebalik awan. Bila Danial terdedah dengan persekitaran anak-anak normal di sekolah, mama melihat progress pertuturan kamu juga meningkat. Meletakkan kamu dalam persekitaran semua orang bercakap, positifnya skill pertuturan kamu makin baik. Vocab baru juga bertambah.

Masuk tahun 2 di sekolah , ada dua anak kecik seusia kamu di kelas yang sama menghulurkan tangan tanda persahabatan bermula. Merekalah yang Allah hadirkan untuk bersama-sama berkongsi suka duka sebagai seorang kawan kepada #AfiqDanial. Terima kasih HARITH DANIAL dan ADAM. Tahun 2 jugalah tahun yang penuh kontrovesi, yang penuh dugaan, yang penuh emosi, yang penuh tekanan buat kamu. Beberapa peristiwa yang masih terkesan pahitnya dihati mama sehingga kini.


Setelah tahun 2014 berakhir, masuklah pula kamu ke tahun baru 2015, alhamdulillah syukur, Allah SWT masih panjangkan umur kami sekeluarga dalam meneruskan cerita kehidupan anak OKU kami. Allah hadirkan guru kelas dan guru-guru yang mengajar kamu pada tahun 2015 adalah yang terbaik sepanjang 3 tahun kamu bersekolah di sekolah perdana di situ. Tiada kes yang perlu menjemput mama ke sekolah lagi seperti tahun sebelum ini. Walaupun pernah dibuli di dalam toilet sekolah tahun itu tapi telah mendapat kerjasama dari guru kelas kamu, Teacher Nirmala dan teacher ini lah yang sentiasa respond setiap kali mama bertanya. Malah teacher juga buka peluang untuk #AfiqDanial memikul tanggungjawab sebagai seorang "penolong ketua kelas". Thank you Teacher Nirmala. Nama teacher tersemat dalam hati mama sampai sekarang.


Alhamdulillah, tahun ni ramai nak berkawan dengan kamu sayang. Ramai yang mengaku "best friend" kamu. Dikenali ramai rupanya kamu ini. Entahla tapi mama cuba positif Hahaha..

Bukan itu saja, ragam alat telinga juga kadang-kadang meletihkan kami. Danial seorang anak kecil yang kuat berpeluh. Peluhnya yang meriah dan kerap mengganggu fungsi alat luar (Processor) telinganya. Banyak keadaannya di sekolah dalam keadaan sunyi apabila alat telinganya meragam. Keadaan ini sangat mengganggu perjalanan persekolahan Danial. Dia terpaksa lalui dunia yang silih berganti. Kejap mendengar, kejap sepi selama 6 tahun.

Perjalanan untuk dapatkan kelulusan implan koklea kedua kamu juga sangat memberi kesan yang sangat dalam pada mama. Ramai yang terlibat. Ada ketika mama rasa berdendam dengan segelintir mereka yang terlibat. Sampaikan mama terpaksa bawa kamu lari tukar hospital swasta (Sunway Medical) bila mana hospital kerajaan tidak menerima kamu. Mama dan abah bukanlah orang berduit, namun mama gagahkan juga mengumpul duit dan cari penyelesaian kedua untuk dapatkan kelulusan implan kedua. Mendapatkan rawatan di hospital swasta bukanlah satu keputusan yang mudah namun itulah peluang yang masih ada. Dipendekkan cerita, setelah beribu-ribu ringgit perbelanjaan mama keluarkan ke hospital swasta, disebabkan mama perlu dapatkan surat pengesahan kamu discharge dari hospital lama, kamu dipanggil kembali ke hospital lama kamu untuk implan kedua. Panjang untuk di ulas dan dikongsi.
Dan dipendekkan cerita, pada tahun 2018 ketika kamu berumur 12 tahun, rezeki kamu mendapat nikmat pendengaran kedua sebelah telinga kiri pula. Nikmat mana lagi yang harus kami dustakan? Dengan izin Allah, pada 9 November 2018, kamu telah dijadualkan bagi menjalani pembedahan implan koklea kedua. Pembedahan telinga kedua dijalankan oleh Prof Asma Abdullah di HUKM. Alhamdulillah, semuanya berjalan lancar dengan izin Allah. Kamu memakai implan koklea brand Cochlear model Kanso.


Alam sekolah rendah berakhir dengan baik dan seronok. Kawan-kawan bertambah dan cikgu-cikgu pun sudah mengenali kamu. Tiada lagi masalah yang mengundang mama turun naik ke sekolah lagi.

2019 kamu bertukar fasa. Bermulalah journey kamu di alam persekolahan menengah pula. Kamu didaftarkan ke sekolah menengah harian berhampiran. Pendaftaran, orentasi dan persekolahan kamu berjalan lancar dan dimudahkan. Tiada lagi isu-isu yang memaksa mama hadir ke sekolah lagi.  Agaknya sebab kamu sudah besar dan sudah pandai menyesuaikan diri. Kamu seronok untuk hadir ke sekolah. No bully, no stress. Guru-guru juga hampir semua mengenali kamu. Kawan-kawan terima kehadiran kamu. Mereka sedar wujudnya kamu di kalangan mereka. Syukur sangat-sangat. Namun kamu masuk 17 tahun, kamu terpaksa dipindahkan ke sekolah lain. Kita berpindah ke rumah kita sendiri. Oleh kerana rumah kita dan sekolah kamu jauh, kamu terpaksa berpindah sekolah lain dan memaksa kamu menyesuaikan diri dalam persekitaran serba baru.


1st day sekolah baru 20.3.2023, kamu cakap kamu rasa berdebar nak ke sekolah baru. Mama faham, its ok, itu normal. Kamu jadilah diri kamu sendiri. Anggaplah itu 1 ujian buat kamu. Alhamdulillah, hari pertama kamu mudah. Kawan-kawan terima kamu dengan baik. kamu sudah mula berkawan. Mama selalu doakan agar Allah hadirkan kawan-kawan yang baik untuk kamu. Kawan-kawan yang berlapang dada membantu kamu. Kawan-kawan yang ikhlas kerana Allah.


Tahun 2023 ini tahun penting kamu. Tahun di mana peperiksaan besar buat semua anak-anak yang berumur 17 tahun. Peperiksaan SPM menanti. Berdebar? Bukan saja kamu berdebar, namun mama juga turut merasai debaran itu. Alhamdulillah, perjalanan tingkatan 5 kamu berjalan lancar. Kamu seronok ke sekolah. Result SPM di umumkan, Syukur alhamdulillah, kamu berjaya semampunya. Walaupun keputusan kamu sederhana sahaja, mama tetap hargai usaha kamu. Kamu sudah berusaha sebaiknya. Kami juga melalui kehidupan ini seperti orang lain. Kami isi permohonan UPU dan pergi ke karnival yang berkaitan. Mencari peluang belajar buat Danial.


Sementara menunggu panggilan belajar, kamu didik diri kamu berdikari. Kamu beranikan diri kamu berdepan dengan dunia. Kamu mencari peluang pekerjaan bagi mengisi masa lapang dan melatih kemahiran diri kamu. Mama sokong apa yang kamu lakukan asalkan benda itu tidak melanggar hukum Allah dan undang-undang negara. Dua bulan kamu bekerja sebagai peniaga. Kamu menjual ayam gunting dan air kocok digerai bawah rumah kita. Tuan kedai memberi kepercayaan kepada kamu untuk uruskan dari A to Z. Sungguh mama kagum kamu boleh melakukannya dengan baik. Peluang ini memberi banyak manfaat kepada diri kamu sendiri. Kamu dapat belajar berdikari, melatih komunikasi kamu dengan orang lain, menambahkan konfiden diri kamu, melatih pendengaran kamu dan banyak lagi.

Pada awal Julai 2014, keputusan UPU keluar. Kamu mendapat tawaran belajar di luar permohonan kamu. Kamu mendapat tawaran Course yang kamu tak mohon. 5 hari kamu mengambil keputusan untuk berfikir terima atau tolak atau tukar course. Mama bersyukur kamu menerima baik panggilan belajar.

30 Julai 2024 merupakan satu tarikh yang mendebarkan mama. Kami perlu menghantar kamu menyambung perjalanan pendidikan kamu di Kolej di Melaka dalam aliran Teknologi Maklumat. Cyberjaya ke Melaka. Pada tarikh ini juga, kamu memberitahu mama, kamu juga merasa berdebar. Umur 18 tahun merupakan kali pertama kamu jauh dari keluarga. Kamu perlu menjalani kehidupan sebagai seorang penuntut kolej bersama kawan-kawan sealiran yang tipikal. Alhamdulillah, status OKU tidak mematahkan semangat juang kamu. Semoga kamu bersinar dan disenangi semua orang di sana.

Semoga kamu gembira mendengar dunia dengan menggunakan implan koklea. Kamu merasa lebih baik dalam menjalani kehidupan kamu sekarang. Ianya umpama alat ajaib yang membantu kamu mendengar. Kamu mengalami kesukaran mendengar pada mulanya, sekarang kamu boleh bersosial dan melakukan aktiviti seperti orang lain. Kamu juga gembira dapat mendengar bunyi di sekeliling kamu. 
Gapailah sedaya mampu kamu. Jangan pernah merasa malu. Jangan pernah rasa kamu tak bagus. Kamu bagus kerana diri kamu. Kamu baik kerana hati kamu baik. Usahalah sehabis baik dalam perjuangan ilmu ini. Mama doakan agar kamu berjaya dan dapat menggapai cita-cita kamu.. All the best AFIQ DANIAL, mama sayang kamu dunia akhirat kerana Allah.

FROM ZERO TO HERO..




.