19 May 2026

Berani Melangkah Tanpa Bunyi: Afiq Danial Naik Pentas Tanpa Mendengar.

Hari ini, 22 September 2018, tercipta satu lagi sejarah dalam perjalanan hidup seorang anak Cochlear Implant bernama Wan Muhammad Afiq Danial.

Hari ini… Dia naik ke pentas. Dia berlakon. Dia menari. Di hadapan khalayak ramai yang tidak dikenali. Dan yang paling luar biasa… semuanya dilakukan tanpa mendengar.

Amazing.

Mama sangat bangga dengan kamu, Afiq Danial. ❤️

Semasa sesi lakonan dan tarian itu berlangsung, alat CI Afiq Danial sebenarnya tidak berfungsi dengan baik. Masalah lama kembali lagi… peluh yang terlalu banyak (heavy sweating) menyebabkan alat tidak dapat berfungsi seperti sepatutnya.











Namun… Dia tetap tenang. Tetap sempoi. Tetap berani. Tetap teruskan. Dalam drama itu, Afiq Danial memegang watak sebagai seorang ayah yang membawa anaknya berjumpa doktor/audiologist (watak Tufayl) untuk mengetahui keputusan ujian pendengaran anaknya.

Watak itu turut menggambarkan kerisauan seorang ibu bapa. Tentang masa depan anak. Tentang kehidupan anak. Tentang keterbatasan yang mungkin akan dihadapi. Namun melalui penerangan doktor, ditunjukkan bahawa dengan bantuan alat pendengaran seperti:

  • Cochlear Implant (CI)

  • Hearing Aid (HA)

  • Bone Conduction Device

Anak - anak pekak hari ini juga mampu menjalani kehidupan seperti anak-anak lain. Mereka boleh mendengar muzik. Malah boleh bermain muzik. (Rhianna memainkan piano 🎹)

Mereka boleh pergi ke sekolah. Boleh berkawan. Boleh belajar. Dalam drama itu juga, rakan-rakan lain memainkan pelbagai watak:

  • Asma, Damia dan Azim sebagai murid yang berbual di sekolah

  • Irfan membaca doa belajar

  • Farzan membaca buku cerita

  • Izzat sebagai cikgu

  • Rania, seorang anak tipikal, menjadi simbol bahawa anak hearing deaf juga boleh belajar di sekolah aliran perdana dan bersosial bersama rakan tipikal yang lain

Ke semua mereka turut menyanyi bersama. 

Ayah dalam drama itu masih bertanya dengan penuh kerisauan:

“Bolehkah anak-anak ini aktif walaupun memakai alat pendengaran?”

Lalu doktor menjelaskan.. Sudah tentu boleh.Mereka boleh bergerak aktif. Mereka boleh bersukan. Mereka boleh beriadah.

Seperti Haaziqah, yang menunjukkan bahawa anak hearing deaf juga boleh menyertai taekwondo. Dan Ainur serta Naurah, yang ceria menunjukkan bahawa mereka juga boleh berenang

Namun doktor turut menegaskan.. Anak-anak ini tetap memerlukan:

✔️ Intervensi awal dan berterusan di hospital
✔️ Latihan konsisten di rumah
✔️ Sokongan penuh daripada keluarga, guru dan masyarakat

Sama seperti dalam dunia sebenar. Bila melihat sendiri kemampuan yang boleh dicapai oleh anak-anak ini… Seorang ibu atau ayah akan rasa lebih lega. Lebih yakin. Lebih bersemangat untuk terus membantu anak mereka semaksimum mungkin. Begitulah kisah drama Afiq Danial dan kawan-kawan hari ini. Satu persembahan kecil… Tetapi membawa makna yang sangat besar.

Walaupun tanpa mendengar, mereka tetap mampu berdiri dengan yakin.

Dan sebagai mama… Hari ini saya belajar sekali lagi.. Kadang-kadang anak-anak ini lebih berani daripada yang kita sangkakan. 

No comments:

Post a Comment