RM70K Demi Sebuah Pendengaran, 4 Tahun Sebuah Perjuangan,
2014 - 2018 ..Alhamdulillah, segala puji bagi Allah. Dia yang memegang segalanya.
Setelah 4 tahun kami berjuang untuk mendapatkan “telinga robot” kedua buat anakanda kami, Afiq Danial, yang dilahirkan pekak pada kedua-dua belah telinga di tahap yang sangat teruk, akhirnya Allah izinkan perjalanan ini berjalan dengan baik walaupun penuh dugaan dan air mata.
Bukan mudah untuk mengumpul dana bagi “kekurangan yang tidak ketara kelihatan” seperti pekak ini. Bukan mudah juga perjalanan kami untuk memberi kehidupan yang lebih baik buat anakanda kami yang ini. Ramai pihak melihat kekurangan pada dirinya tidak seserius dan tidak mendesak untuk disegerakan rawatannya kerana ramai berfikiran bahawa pekak bukanlah penyakit yang melibatkan hidup dan mati serta tidak mengancam nyawa.
Pernah juga kami disoal siasat melalui mesej kerana dianggap menipu dan mempergunakan kekurangan anak untuk meminta duit dengan jalan mudah. Pernah juga disindir dan dipersoalkan kemampuan tulang empat kerat ini.
Namun begitu, alhamdulillah masih ramai pihak yang membantu walaupun mengambil masa 4 tahun untuk mengumpul dana berjumlah RM70K. Ya, 4 tahun kami usahakan untuk mendapatkan RM70K ini.
Terima kasih kami sekeluarga ucapkan kepada semua yang terlibat dalam dana implan telinga kedua Afiq Danial. In Sha Allah, pahala berterusan buat anda semua selagi mana anakanda kami hidup dan memakai alat cochlear implant yang anda semua sumbangkan sepanjang hayatnya. Sumbangan anda sangat membantu dan memberi masa depan buat anakanda kami. In Sha Allah, ia tidak akan disia-siakan .Terima kasih sekali lagi kami ucapkan kepada pihak Naza Motor dan Datin, pihak Zakat Selangor, pihak Maybank Bahagian IT, akhbar Metro, Hospital Sunway, Hospital Universiti Kebangsaan Malaysia (HUKM), Persatuan Hear Me, keluarga besar mama, saudara-mara, kawan-kawan suami dari Alumni Faris Petra, kawan-kawan suami dari UUM, kawan-kawan suami di Facebook dan Instagram, kawan-kawan saya di media sosial sama ada di Instagram, Facebook, WhatsApp dan media cetak yang lain, cikgu 3PK, cikgu sekolah, pihak sekolah, kariah surau, jiran-jiran, kawan Mama yang sponsor poster, kawan-kawan saya sama ada yang rapat mahupun alam maya, ibu bapa sekasut serta semua yang menyokong saya dengan membeli produk-produk yang saya jual selama ini.
Antara yang saya jual ialah samosa, karipap, sup tulang, wantan, kek coklat moist, cheesekut, chicken bread crumb, rempah ayam goreng berempah, apam polkadot, minyak masak Kijang dan buku bacaan 😊.
Untuk pengetahuan semua, Afiq Danial akan dimasukkan ke wad pada 8/11/2018 dan akan menjalani pembedahan cochlear implant pada 9/11/2018 di HUKM.
Alhamdulillah semuanya berjalan lancar dengan izin Allah.
.png)
No comments:
Post a Comment