19 May 2026

“Setakat Pekak Je…” Betulkah Anak Pekak Tak Struggle?

Saja nak tepek story buat kenangan. Cerita panjang… untuk yang sudi membaca.


Awareness tentang pekak di Malaysia ini memang sangat kurang. Susah sangat nak dapat perhatian umum. Mungkin sebab pekak ini orang nampak macam “biasa-biasa” saja. Tak nampak struggle-nya berbanding OKU lain. Bukan saya nak minta simpati. Cuma saya nak orang faham…

kami pun struggle juga untuk sampai ke tahap ini.

Untuk yang belum tahu, saya mempunyai seorang anak pekak. Sekarang usianya 16 tahunBertahun-tahun saya melalui perjalanan ini bersama dia.

From zero to hero.

Apa yang saya tulis ini berdasarkan pengalaman sendiri. Mungkin tak sama dengan orang lain. Mungkin ada yang melalui perkara yang sama. Pekak juga tergolong dalam kategori OKUTetapi di Malaysia, saya rasa komuniti pekak antara yang agak terpinggir.

Sebenarnya, komuniti pekak ini ada dua kelompok besar:

  1. Pekak yang menggunakan bahasa isyarat sebagai bahasa komunikasi utama.

  2. Pekak yang memakai alat bantu pendengaran, implan koklea dan bone conductor tapi boleh bercakap.

Yang kedua ini… ramai yang kurang tahu kewujudannya.

Ramai fikir…“Kalau dah boleh bercakap, ok lah tu.” Tak. Tak semudah itu. Baru-baru ini, ada seorang perempuan datang ke rumah saya untuk servis sesuatu. Kebetulan saya sedang memasak, jadi kami berbual di dapur. Mula-mula agak awkward. 

Tiba-tiba dia buka topik:

Puan A:
“Anak puan yang buka pagar tadi tu dah ok ke dia?” 

Mama : ( Mama terdiam sekejap.) “Ok macam mana ya, kak?”

Puan A:
“Oh… dia masih ke Putrajaya lagi ke?" 

Mama : (Dalam hati saya…Haa, sudah. Salah orang ke akak ni tanya?) Kemudian dia sambung:

Puan A : “Anak puan yang buka pagar tadi tu kan yang pekak?”

Mama : Ya, betul.

Puan A : “Dah besar dah dia. Dia sekolah di Putrajaya kan?”

Mama : “Taklah kak. Sekolah sini je… SMK biasa.”

(Dia nampak terkejut.)

Puan A : “Oo… sama sekolah dengan anak akak. Akak tak tahu pula sekolah tu ada kelas khas untuk OKU.”

Mama : (Saya senyum.) “Tak ada kelas khas, kak. Anak saya masuk kelas biasa. Sebab dia boleh bercakap.”

(Lalu dia kata sesuatu yang buat saya terdiam.)

Puan A : “Ye lah… pekak ni tak macam OKU lain. Setakat pekak ni, tak ada apa pun kan?”

Mama : (Saya diam).

Dia sambung bercerita tentang anak Down syndrome, autism, cerebral palsy…Tentang betapa susahnya ibu bapa mereka. Dan ya, saya setuju. Memang ujian mereka sangat hebat. Saya juga ada ramai kawan ibu bapa kepada anak-anak CP dan autism. Saya sangat hormat perjuangan mereka.

Tapi bila dia berkata lagi…

Puan A : “Puan beruntunglah. Anak puan hanya pekak. Pakai alat je dah boleh bercakap. Boleh pergi sekolah normal.”


Di situ saya cuba menjelaskan.

Mama : “Tak juga, kak… anak pekak ini bukan pakai alat terus pandai bercakap.” Alat itu bukan magic. Ada yang berjaya bercakap. Ada yang tidak. Kalau alat pendengaran itu magic… Takkan wujud bahasa isyarat. Takkan wujud sekolah khas untuk pekak.

(Saya belum sempat habiskan ayat…)

Dia mencantas:

Puan A : “Tapi tak penat macam OKU lain… mengamuk bagai.”

Mama : (Sungguh, Saya terdiam. Bukan sebab tak ada jawapan. Tapi sebab… Tak perlulah saya ceritakan seluruh perjuangan kami. Sebab bagi orang lain, mungkin cerita kami tak cukup “menarik”.)

Tak cukup “berat”.

Tak cukup “tragis”.

Jadi saya senyap.

Servis selesai. Perbualan tamat.


Tapi hati saya masih bercakap.

Kami, ibu bapa kepada anak pekak, juga struggle. Siapa kata anak pekak tak tantrum? Sedangkan anak tipikal pun tantrum. Anak pekak juga boleh tantrum. Boleh marah. Boleh give up. Boleh cabut alat. Boleh menangis bila dipanggil belajar mendengar. Dan kadang-kadang…

mak ayah pun boleh tantrum juga. Sebab nak ajar anak pekak bercakap… bukan magic. Anak pekak yang lahir tanpa bunyi… Mereka tak pernah dengar bunyi sejak lahir. 

Nak belajar bercakap?

Mereka kena belajar mendengar dulu.

Belajar kenal bunyi.
Belajar alert pada bunyi.
Belajar beza bunyi.

Lepas itu baru belajar bercakap.

Nak ajar sebut perkataan.
Nak ajar intonasi.
Nak ajar buat ayat.
Nak ajar emosi.

Semua kena ajar.

Contoh paling mudah…

Hari ini saya buat ujian pendengaran dengan Danial. Perkataan “parit”Dia tak tahu nak eja. Bukan sebab dia tak pandai. Tapi sebab… Dia tak familiar dengan perkataan itu. Tak pernah dengar. Tak tahu apa maksudnya. Tak dapat bayangkan.

Akhirnya dia tanya saya:

“Mama… mama mencarut ke?”

Terkejut saya.

Lepas itu dia betulkan:

“Mama mengarut ke? Perkataan tu ada makna ke, atau mama reka?”

Saya ketawa. Tapi dalam hati… Ya Allah. Banyak lagi rupanya yang saya belum sempat ajar. 

Anak tipikal… Perlu tak kita ajar dia mendengar? Tak perlu. Perlu tak kita test progress mendengar mereka? Tak perlu. Cukup banyak bercakap dengan mereka.

Tapi anak pekak…

Setiap bunyi adalah pelajaran. Sebab itu saya tak suka bandingkan progress anak saya dengan anak orang lain.

Kasut kami sama.
Tapi design, jenis dan penjagaannya tak sama.

Akhir kata…

Kami, ibu bapa kepada anak pekak, juga melalui ujian yang hebat. Mungkin tak sama. Tapi tetap berat.

Sedarlah akan kehadiran kami dalam masyarakat. Bila Hari Pendengaran Sedunia (3 Mac setiap tahun tiba..) 

Tak ada pun kenalan yang wish kepada kami. Bila Hari Cochlear Implant Sedunia… Tak ada pun yang tahu. Kecuali ibu bapa anak CI sendiri yang saling mengingati dalam group. Kehadiran mereka seolah-olah tak disedari. Jadi hari ini saya nak cakap satu benda saja..

Hargailah nikmat pendengaran semula jadi. Kerana ada yang perlu membayar mahal… untuk merasai nikmat mendengar itu. 

Kami Juga Berjuang..




No comments:

Post a Comment